Selasa, 5 Mei 2009

kebanjiran artis luar

ibarat menyusukan kera di hutan, anak dirumah kelaparan, itulah realiti yang hangat diperkatakan tentang industri muzik negara kebelakangan ini. kedatangan penyanyi solo, band, dan pemuzik luar yang leluasa hari ini, secara tidak langsung telah menggugat periuk nasi atau rezeki para artis tempatan. secara positifnya, kemasukan pemuzik luar ke negara ini diakui mampu untuk menyumbang kepada perkembangan industri muzik tempatan. walau bagaimanapun, dari sudut lainnya, perkara ini amat mendukacitakan kerana akan memberikan kesan negatif terhadap identiti muzik tempatan. ancaman seperti ini amat membimbangkan. bayangkanlah, apakah yang akan terjadi dengan industri muzik negara kita pada masa sepuluh tahun akan datang jika kemasukan lagu-lagu luar dibiarkan dengan leluasa? jawapannya ialah tentunya identiti muzik di negara ini akan lenyap dihentam asakan arus muzik luar.

keadaan ini tambah merunsingkan apabila kedudukan teratas carta lagu di beberapa buah stesen radio popular tempatan dikuasai oleh artis luar. senario ini sudah tentu menjejaskan kedudukan atau populariti artis tempatan. malah, mereka juga diberi pengiktirafan kerana kononnya memegang rekod lagu paling lama bertahan dalam carta lagu sebuah stesen radio swasta baru-baru ini. inikah yang dicari oleh peminat muzik tempatan dewasa ini? persoalannya ialah mampukah identiti muzik tanah air berkembang sekiranya kedatangan artis dan pemuzik luar tidak dihadkan?